"memartabatkan bahasa terletak dalam diri kita. mengapa kita malu untuk menggunakan bahasa kita sendiri?"
1. Alhamdulillah aku berkesempatan pergi, meskipun akal kerapkali bertukar-tukar fikiran, tetapi hati tetap bertegas nak pergi ke Wacana Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM. Program tentatif sepatutnya bermula jam 2.30 petang, tetapi aku terlewat kerana berjumpa kawan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bilik Majlis di Canselori UKM adalah kecil dan semasa kaki ku melangkah masuk, majlis baru sahaja hendak bermula. segan dan malu aku melangkah mencari kerusi kosong. dengan muka yang tebal, aku berjalan ke bahagian paling belakang.
2. Panel yang hadir ialah Tn. Hj Borhan Md Zain, setiausaha 1 GAPENA. (aku selalu dengar tentang GAPENA, tapi aku tak pasti apakah fungsi persatuan ini). Setelah mencari di laman maya ini, tiada laman sesawang rasmi GAPENA. Hanya sempat ku temui, GAPENA adalah pendek kata bagi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia. [klik sini]. Beliau menjelaskan tentang Akta 152 dan Akta 32. Aku tak sempat catat secara terperinci, namun, beliau melahirkan rasa kebimbangan tentang lemahnya Bahasa Melayu di negara kita sendiri terutama sikap pemimpin yang malu untuk bercakap dalam Bahasa Melayu ini dalam majlis rasmi atau temuramah. "kalau boleh, kita tukar pemimpin yang memartabatkan Bahasa Melayu". Pemimpin yang hormat akan Bahasa Kebangsaan adalah harapan kita untuk memartabatkan kembali bahasa kita.
"sayangkah kita pada bangsa kita? bahasa kita"
3. Panel kedua, Ahmad Fedtri Yahya, Pengacara Malaysia Hari Ini TV3 dan Pengamal Media. Beliau banyak berkongsi tentang pengalaman dan cabaran menggunakan bahasa dalam program siaran langsung dan media sosial. "cabaran masa kini sangat menduga, lihat bahasa komen dan pandangan dalam facebook dan youtube". Beliau juga ada menyentuh, ketidakfasihan bangsa kita dalam memberi pandangan apabila ditemuramah. sikap kita yang suka bertangguh-tangguh mempengaruhi kita dalam percakapan, misalnya banyak sangat "aaaa.... aaaaa.... saya..." lambat-lambat dan baru nak terfikir apa yang ingin dijawab. Ini sangat berbeza dengan di Indonesia, mereka dengan sukarela menyuarakan pandangan dengan baik.
"aspek bahasa dan aspek akhlak"
4. Panel ketiga Prof. Dr. Teo Kok Seong, pensyarah di ATMA. Berbangsa cina dan beliau sangat fasih berbahasa Melayu. Beliau menyentuh sikap kepimpinan negara terutama dalam isu PPSMI (Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). "Bangsa sendiri tidak percaya dengan bahasa sendiri". Beliau juga mengkritik tajam dengan bangsa Cina yang sangat memartabatkan bahasa Mandarin di SJKC sehingga menolak pengajaran subjek Malaysia Negaraku diajar dalam Bahasa Melayu untuk sekolah rendah.
"berlatih Bahasa Melayu, melatih kreativiti"
contoh terbaik "ini budu baru, ini baru budu"
5. Sesi soal jawab dibuka kepada seorang sahaja iaitu Pak Kamal daripada Singapura. Beliau terhairan-hairan dengan situasi ini berlaku di Malaysia. Beliau juga menyuarakan kebimbangan akan kehilangan Bahasa Melayu seperti hilangnya martabat Bahasa Melayu di Singapura.
Akhir kata, aku tersedar akan kepentingan Bahasa Kebangsaan kita. cukuplah Tulisan Jawi semakin hilang dan malap. "bermula dengan diriku!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan