Selasa, Disember 08, 2015

Azam kawal berat badan

Sudah lama berazam untuk kawal berat badan. Istilah kawal di sini,  aku maksudkan pada
1. Kurangkan berat badan
2. Dapatkan berat badan ideal - 70kg
3. Kekalkan berat badan ideal tu.

Alkisah berat badan tak terkawal ni masa selepas kemalangan tahun 2011. Serba naik dan turun. Aku pernah pergi gimnasium dalam tempoh 2 tahun tanpa coach.  Sebab aku niat hanya nak kurangkan berat badan dan dalam masa sama nak kuatkan otot kaki yang patah dulu. 

Tapi bila lihat orang di gimnasium badan fit dan sasa,  teringin juga cuba alat otot yang ada.  Buat sendiri tanpa coach.  Segan rasanya nak tegur orang fit dan sasa ni.  Setelah tu,  aku jadi malas,  gimnasium pun dah tak pergi. 

Berhenti 2 bulan,  badan naik cepat.  Cuba diet tapi tak berjaya.  Pergi semula ke gim pun macam sakit kaki datang semula.  Aku bertambah malas bila takde kawan untuk ajak fit. Mungkin sebab aku segan. 

Sekarang sudah setahun lebih. Hampir 14kilo naik.  Memang teruk.  Tahap kemalasan menjadi.  Puasa Ramadan berjaya turunkan  hampir 5 kilo.  Tapi tak kekal lama. 

Aku ke Kelantan minggu lepas untuk teman ayah aku untuk alumni nilam puri.  Jumpa kawan baru,  hakim.  Borak borak,  rupanya dulu dia sangat gemuk.  Tapi dia azam untuk berubah. Alhamdulillah sekarang dia fit tapi tak sasa.  But still,  he achieved what he want.  I felt challenged.

Hari ni hari kedua aku di balapan stadium seksyen 15. Aku dah faham perangai kaki aku yang sengaja sakit sebab jog laju.  Jadi aku buat senaman jalan kaki.  Dalam 5 pusingan sambil layan henpon.  Alhamdulillah aku berjaya tak sakitkan kaki aku. 

Kali terakhir aku timbang 84kg. Jadi azam kawal berat badan aku ialah:
1. Senaman jalan kaki selama sebulan, setiap hari.  5 pusingan atau lebih.  Mungkin bersama  2km.
2. Sekali seminggu pergi gimnasium buat senaman otot
3. Minggu depan atau mulai hari ke 7, buat senaman push up di rumah. 
4. Jika berat turun akhir tahun ni,  aku akan mula joging pula.  Dan mantapkan kardiovaskular.

Hari ini hari kedua,  sudah 10 pusingan agaknya.  Mula jam 830malam sampai 930 malam.  4km?Alhamdulillah. 

Azam ni kena betulkan niat untuk Allah.  Agar sihat badan dan senang beribadah kepada Allah.  Amin.

Ahad, Oktober 11, 2015

Mengejar janji

Menagih janji dan mengejar janji adalah dua perkara berbeza. Bagiku menagih janji kita mengharapkan janji yang dibuat ditunaikan, tetapi bagi mengejar janji ialah menunggu janji yang tak berkunjung tiba, malah kita yang mengejar janji itu supaya ditunaikan.

Alkisah 5 hari berlalu, aku mengejar janji seseorang yang aku anggap macam cikgu tetapi sejak kes ini, aku kurang hormat terhadapnya. Patutkah aku bersikap sedemikian?

Isnin lalu, aku bertiga bersama rakan sepejabat telah membuat temujanji dengan beliau. Jam 3 petang dari wangsa maju ke universiti (40 km), namun beliau tiada. Sejam setengah tunggu dengan usaha tanya pejabat, pelajarnya dan staf, hasilnya buntu. Aku hanya tinggal note di pintunya. Kami pulang ke pejabat dengan hampa.

Selasa, aku seawal pagi ke universiti lagi, tunggu sejam setengah, beliau masih tiada. Sebelum balik, aku dapat bercakap dengannya, beliau kata beliau cuti hari ni dan akan siapkan esok petang.

Rabu, tiada respon emel. Malam aku singgah biliknya di universiti. Alhamdulillah, beliau ada. Tetapi janjinya tidak tertunai. Aku mohon khamis ni, namun beliau tidak mampu dan mohon jumaat. Aku terdesak memaksanya, namun alasan beliau sangat kuat dan aku terpaksa akur atas dasar manusiawi dan bukannya seperti ah long memeras ugut.

Khamis, aku dimarahi oleh bos aku. Sehinggakan aku terpaksa membangkang cakap bos aku. Bagiku, jika ia melebihi batas prinsip aku, aku akan bangkang. Jadi aku mohon bosku untuk suruh orang lain yang lebih bagus dariku. Rakanku tidak berjaya juga.

Jumaat, sampai ke petang, aku masih tak dapat emelnya. Aku naik radang. Sejam setengah aku tunggu dibiliknya, call pun tak angkat.

Sabtu, aku bertekad ke rumah beliau. Tapi alamatnya aku tak tahu. Yang aku tahu beliau berjiran dengan seorang pensyarah yang aku kenal. Atas bantuan pensyarah itu, aku berjaya. Aku jumpa beliau dan menuntut janji untuk serah semua data yang dia ada. Dia kata baru 60%. Dia minta petang, aku dah tak percaya. Aku paksa, akhirnya dia tetap menang. Petang dia emel yang 60% dan berjanji lagi 40% malam. Sampai malam pun takde berita. Aku hampir give up.

Ahad, aku sms lagi buat sekian kalinya. Dia kata masih belum siap. Allahu rabbi... Maaf dr. Saya bukan memaksa dr siapkan dalam masa singkat, tetapi laporan ni kami dah minta dari awal tahun, tetapi dr asyik tangguh sebab  ni dan itu. Kali ini kami terpaksa berkeras, maaf kalau saya asyik memaksa. Namun saya masih berkelakuan baik dan bercakap baik dengan dr. Sebab saya takut ilmu yang dr pernah ajar saya tak berkat. Juga, saya nak amal akhlak nabi. Harap dr juga sebegitu dalam menunaikan janji.

Maaf sekali lagi dr. Yang pasti saya tak mahu mencontohi sikap dr yang menabur janji untuk menyedapkan hati.

Khamis, Oktober 08, 2015

Junior rakan taman

Semalam sempat singgah ke ukm jam 9 malam. Ada laluan yang dah ditutup. Pusanika masih tak banyak berubah dan minggu pendaftaran persatuan sedang berlangsung. Kelihatan booth booth organisasi termasuklah kelab rakan taman. Sudah lama tak bertegur dengan junior yang memimpin kelab ini selepas mesyuarat agung pada mac lepas. Insyaallah mereka boleh terus sukses dengan semangat baru. Sempat juga junior aliah, biologi tahun 3. Beliau seorang diri kemas booth, sempat berborak dengan beliau. Hari pertama ramai juga mendaftar. Projek terdekat ialah projek penanaman pokok di taman dan lawatan ke taman alam kuala selangor. Great! Nampaknya penasihat kelab, dr noraini dan en ruzi turut membantu adik adik ni. Esok dekan akan datang melawat booth dan yang dipertua kelab, faeiza akan beri pitching. Ruginya tak dapat dengar.. Huhuhuhu. Semoga kelab ini terus subur dan mekar mewangi.

Ahad, Oktober 04, 2015

Setahun berlalu

Sudah setahun aku tak kemaskini blog ini. Alhamdulillah aku kembali, dengan kemudahan app blogger ni, ia sangat membantuku. Setahun berlalu dengan sangat cepat. Facebook pun aku tak sempat nak buat status sendiri, hanya mampu kongsi dan suka komen dan status orang lain. Hanya whatsapp tempat aku aktif berhubungan, namun, itupun dengan kawan yang menegurku, jika tidak aku tak sempat tegur sesiapa. Allahi rabbi.. Pengalaman kerja di wangsa maju pun sudah hampir setahun. Berkerja di tempat swasta memang sangat sibuk. Aku sudah masuk ke fasa kemuncak, di mana kemahiran, ketangkasan aku dinilai oleh bos aku. Malahan, aku perlu buktikan aku layak mendapat gaji yang setimpal. Tugasan pertama yang berat dan singkat ini amat meletihkan, aku terpaksa korbankan masa dengan keluarga dan sahabat handai. Janjiku dengan pensyarah di UKM pun tak mampu aku tunaikan. Rasa serba salah, tetapi aku perlu sesuaikan diri secepat mungkin. Hari sabtu ahad ini barulah aku ziarah kedai abuya aku. Hampir sebulan juga aku tak duduk di sini menolong kemaskini fail dan stok. Kasihan melihat ayahku buat kerja mengurus kedai. Kewangan kedai pun makin kurang memuaskan. Melihat sahabat handai berkumpul semula dan bertanya khabar di whatsapp dan facebook sangat mengujakan. Ada sudah punyai anak dan isteri. Alhamdulillah. Aku? Soalan lazim ni aku dah lali, hanya Allah akan tentukan jodohku. Persiapan diriku sebagai suami masih belum cukup. Aku rindukan zaman aku dalam bidang dakwah. Ukhuwah islami mengukuhkan iman di jiwa. Moga Allah berkati dan selamatkan diriku dan kita semua.