Khamis, Jun 28, 2012

seminggu tak kemaskini

"dah naik segan nak minta maaf"

adalah dimaklumkan aktiviti saya sepanjang 20 Jun 2012 - 27 Jun 2012:
1. kelas statistik oleh Prof. Shukor
2. kerja makmal di Elektron Mikroskop
3. mengutip sampel di Hutan Paya Laut, Matang, Perak.

atas sebab aktiviti ini, aku telah mengabaikan penulisan di blog. alangkah sedihnya hati ini. 
kadangkala, terasa banyak perkara nak dibuat dalam hidup ini, sehinggakan tak menang tangan.
malahan, banyak juga kerjaku yang terbengkalai akibat tangguh-menangguh.
sayang rasa hati, bila melihat masa aku dibazirkan ketika memandu, makan, tidur dan aktiviti lain.
kadangkala cemburu sangat dengan orang lain yang ada masa bersama keluarga, lepak dengan kawan dan membaca buku. tekanan terus menekan, cuma aku buat-buat tiada tekanan. 
banyak pengalaman hidup aku dalam tekanan dan hasilnya, aku berjaya buat sesuatu yang tidak aku yakini sebelum ini. namun, kesannya juga turut banyak. antaranya, aku mungkin akan mengacau dan membebankan orang lain.

ternyata hidup ini tidak mudah untuk kita bersenang-lenang. di kala usia muda inilah patut dimanfaatkan sebelum usia tua menanti. sebab aku malu melihat orang tua yang berkerja kuat untuk menyara hidup anak-anaknya yang telah besar panjang. sedangkan aku yang muda, baru buat kerja sikit dah mengeluh sana mengeluh sini.

sedikit sebanyak pengajaran daripada minggu ini, ilmu yang aku pelajari sebelum ini terutama semasa di pengajian sarjanamuda kembali semula dalam ingatan, aku telah belajar ilmu statistik. semasa kini juga aku mengajar murid tingkatan 4 dan 5 tentang statistik. berkaitan dengan graf histogram, ogif, median, min, kuartil. setelah 7 tahun berlalu, kini baru ku tahu penggunaan dan fungsi statistik dalam mencambahkan ilmu sains adalah penting! dahulu aku naik beruban belajar dan praktikal statistik ini, ternyata ada hikmah kesusahan yang kita hadapi dulu. sekarang, aku hanya perlu mengasah lagi kefahaman ku dalam ilmu statistik dan cuba olah untuk kepentingan bidang kajianku ini secepat mungkin.

sudah dua tahun aku dalam pengajian sarjana, ternyata aku telah bercuti selama setahun. 6 bulan aku mengalami proses pemulihan kaki ku yang patah, dan 6 bulan untuk aku mencari semangatku yang hilang. akibatnya, aku telah terlajak dalam pengajianku. setelah gesaan demi gesaan, rupanya aku terdesak untuk habiskan sarjana dalam tahun ini juga. meskipun aku tak mampu untuk menamatkan pengajian dengan konvokesyen di DECTAR tahun ini, tetapi sekurang-kurangnya, aku boleh siapkan tesis dalam tahun ini juga. menulis ini bukan kerja mudah, ia perlu disokong oleh hasil kerja makmal yang baik. sebab itulah aku perlu habiskan kerja makmal ku dalam tempoh 2 bulan ini. tekanan sangat dan aku telah menekan pembantu di elektron mikroskop. rasa serba salah. menyambung sarjana bukanlah mudah terutama dalam mod penyelidikan. janganlah tunggu semangat untuk hadir baru nak buat kerja makmal. jangan jadi macam aku. namun, hikmahnya aku suka keadaan sebegini. bekerja dalam tekanan membuatkan aku sangat bersemangat!

mengambil sampel bunga pokok bakau di Matang Perak, sedikit sebanyak menggembirakan aku. aku telah berjaya mengamalkan teknik-teknik pengecaman pokok bakau. alhamdulillah setelah sekian lama aku rasa dungu dalam membezakan pokok. mungkin kerana aku sejak kecil tak pernah ambil tahu pasal pokok, malahan pokok buah pun aku tak kenal. kerap kali aku digelakkan oleh kawan-kawan, tak kenal pokok mangga, manggis dan lain-lain. malu sungguh dan kadangkala geram dengan orang macam ni. tolonglah jangan menghina orang yang tak tahu, kalau orang tu jahil sekalipun, tunjuklah dia can pandulah dia ke jalan yang baik. mungkin aku sedikit lambat, tetapi aku akan berusaha!

hidup ini penuh dengan tekanan, kelemahan diri adalah provokasi untuk tekanan. kerja bertangguh juga menambah tekanan. hakikatnya, bagaimana kita nak mengurus tekanan? 
aku berpandangan tekanan itu harus kita tukar kepada cabaran. cabaran itu akan menyebabkan semangat kita akan meningkat. manfaatkan semangat itu untuk melonjak diri kepada yang lebih baik!

Rabu, Jun 20, 2012

tawakal sebagaimana burung

"sebagaimana burung-burung dengan berserah diri bulat-bulat kepada Allah mencari rezeki di awal pagi"

[Dari Umar bin Khattab, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika kamu tawakal kepada Allah dengan ketawakalan yang sungguh-sungguh, maka Allah akan memberikan rizki kepadamu seperti Allah memberikan rezeki kepada burung, pergi pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.” (Hadis riwayat Tirmidzi)]

semalam aku sempat menghadiri kuliah hadis daripada Ustaz Azam di Hentian Kajang, memenuhi ajakan daripada jiranku, Abang Hafiz. alhamdulillah sempat belajar hadis ke 47, tentang tawakal. agak lama aku tidak mengulangkaji bab hadis dan apabila kuliah ini, aku mendapat semangat kembali seperti iman baru untuk diri mengamalkan hadis ini. sesungguhnya memang tidak rugi menghadiri kelas-kelas agama, meskipun tajuk yang biasa dan nampak lekeh, tetapi ternyata ia menambah iman kita yang semakin hari semakin lemah.

sedikit catatanku daripada hadis ini:
1. bertawakal dan berserah kepada Allah sepenuhnya seperti burung ini. [tetapi ingat dengan Usaha! sebab burung bukan duduk sahaja dalam sarang, dia berserah kepada Allah, tetapi dia tetap keluar dari sarang seawal pagi.
2. rezeki berkat di awal pagi.
3. setiap usaha mesti disandarkan kepada Allah, kerana Allahlah yang mengizinkan keberjayaan kita.

lanjut [klik sini]

Selasa, Jun 19, 2012

Islam & melayu

"aku sedang gigih membaca buku Islam & Melayu"


buku ini adalah tulisan individu yang aku hormati dan ingin contohi daripada sudut keilmuwan dan hikmahnya.
beliau ialah Dato'Dr. Siddiq Fadzil. kini aku sudah di bab yang ketiga. ternyata memang berat untuk membaca isi kandungannya, tetapi tidak seberat buku Syed Naquib Al-Attas. aku mencabar diriku untuk membaca buku yang sebegini, kerana aku sudah hampir menjejakkan kaki ke alam dewasa iaitu 25 tahun pada Oktober ini. seorang sahabatku berkata, apabila kita telah tiba ke umur 25 tahun, selalunya prinsip dan pemikiran kita akan jadi matang hasil pengalaman dan pandangan kita selama 24 tahun yang telah berlalu. jadi, aku tak mahu, kematangan aku nanti adalah yang kebudak-budakan dan tidak kukuh. justeru, aku perlu melatih diri aku dari sekarang untuk menjadi seorang insan yang matang seperti penulis buku ini!

meskipun ada insan yang berkata umur yang aktif dan kreatif adalah umur remaja iaitu 16 sehinggalah 24 tahun, dan aku akui aku dipenghujungnya. aku tidak mahu kehilangan anugerah remaja ini menjelang dewasa. jadi, melalui pembacaan kritikal diharap akan melatih aku berkreatif secara kritikal juga. InsyaAllah. aku juga akan terus aktif menulis di sini, agar hasil pembacaanku ini tidak akan terbang dan luput kembali. biasalah, otak aku sudah penuh memorinya. 

Aktifkan diri ini untuk membaca!

Isnin, Jun 18, 2012

My father

"aku terharu melihat kisah realiti yang diubahsuai menjadi filem My Father di TV AlHijrah semalam."

kisah yang telah dilakonkan oleh [Daniel Henney] dan [Kim Yeong Cheol] pada sekitar tahun 2007.
mengisahkan bagaimana seorang anak yang dipelihara oleh ibu bapa angkatnya di Amerika ingin mencari ibu bapa kandungnya. didapati ayah kandungnya ini ialah seorang pembunuh dan banduan yang menanti masa untuk dihukum. sebenarnya, ayah kandungnya ini adalah mangsa keadaan dan terpaksa membunuh untuk menyelamatkan diri. aku masih samar-samar plot pembunuhan ini, kerana dia hanya nak menyelamatkan diri, kenapa dia dituduh pula. mungkin ada yang khianat dan buat cerita yang salah. Daniel atau James (dalam filem ini) telah membuat ujian DNA dan didapati banduan itu bukanlah ayah kandungnya. James merasa marah dan tertipu, tetapi setelah beliau fikirkan kembali didapati ada sebab kenapa banduan itu mengaku beliau ialah ayah kandungnya. cerita ini tergantung di sini kerana ia adalah kisah realiti yang tidak tahu kesudahannya. namun, di sini aku dapat simpulkan, bahawa James adalah anak luar nikah, ibunya mungkin telah dibunuh oleh orang jahat dan banduan ini yang cuba menyelamatkan ibunya dan membunuh orang jahat itu. cuba rujuk [di sini] untuk kisah lanjut.

Jumaat, Jun 15, 2012

memandang dengan positif

"Menghormati orang ada pelbagai cara"

1. Jangan memandang seseorang dengan negatif.
aku mempunyai seorang kawan yang sentiasa melihat seseorang dengan negatif.
apabila dia tidak suka dengan seseorang yang lain, pasti, setiap kesalahannya akan menjadi sebutan dan ingatannya.

2. Pernah sekali, seseorang yang lain itu (si A) telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan, jadi kawanku itu (si B) perli sehingga kecil hati si A. malahan si B telah menghebohkan kesalahan itu kepada orang lain. orang lain itu pun menjadi buruk sangka kepada si A dan akhirnya, si A berseorangan dan sukar dia hendak berukhuwah kepada orang-orang ini.

3. Sekali kita telah dipandang buruk oleh orang lain, memang sangat sukar untuk pulihkan kembali pandangan orang ini terhadap diri kita. Bagaimana kita nak hidup dengan pandangan negatif di sekeliling kita ini?

4. contoh umum: seseorang dituduh meliwat, baru dituduh dan baru nak didakwa (tak pasti lagi dia yang meliwat), tetapi media dah hebah satu dunia, dia telah meliwat dan semua orang sedikit sebanyak telah tertanam persepsi buruk dalam minda. apabila dibuktikan tidak bersalah, adakah pandangan negatif tadi telah menjadi positif? mungkin ya, tetapi kesan negatif masih tersemat dalam minda. 

5. saya bukan penyokong individu ini, tetapi saya takut dan bimbang bagaimana jika perkara ini berlaku kepada diri aku nanti. 

Nauzubillahiminzalik. Ya Allah aku mohon aku dijauhkan daripada tuduhan zina atau tuduhan maksiat.

Isnin, Jun 11, 2012

Abu Dzar

semalam aku sempat mendengar ceramah di surau seri tanjung daripada ust haji bustamam tentang sirah peralihan khulafa selepas saidina umar. ‎

ternyata zaman saidin uthman penuh dengan kontroversi dan aku tak pasti kisah sebenar dan Ust Haji Bustamam hanya sempat mengisahkan seorang tokoh di zaman ini. tokoh itu adalah Abu Dzar.

"aku bersabar dan menahan diri." menolak pelawaan pemberontak ketika mereka tinggal di padang pasir. abu dzar sakit tenat. isterinya menangis kerana tiada kain kafan. "jangan bimbang" setelah, meninggal dunia, ada golongan orang beriman menguruskan jenazahnya. ‎"dilahirkan sebatang kara, meninggal sebatang kara, dibangkitkan pun sebatang kara" kata2 Rasulullah tentang Abu Dzar.

Ahad, Jun 10, 2012

aib

"tanpa kita sedar, kadangkala kita telah mengaibkan diri kita sendiri."

aib itu adalah rasa malu atau hina akibat sesuatu perkara. Ini sekaligus memberi kesan untuk menjatuhkan maruah kita atau merendah martabat kita. selalu kita kaitkan dengan orang lain yang berniat jahat untuk mengaibkan dan memalukan kita. tetapi fokus aku hari ini ialah aib yang datang dari diri kita sendiri. kita buat tapi kita sendiri tak tahu ia telah menjatuhkan maruah kita.

1. memakai pakaian yang tidak menutup aurat. lelaki duduk bergambar dengan gaya seluar pendek yang menampakkan peha.

2. bergambar dengan aksi seksi. contoh: lelaki yang tidak berbaju dan mengambil gambar atas dada dan menjadikan profil gambar Facebook. "memanglah bukan aurat, tetapi tidakkah terasa anda murah?"

3. berkata kesat dan lucah dalam Facebook. kata-kata yang dilontarkan menggambarkan betapa teruknya peribadi kita.

4. suka mengambil gambar bersama dengan model seksi. anda sudah menutup aurat, tetapi anda dengan sengaja mengambil gambar dengan model gadis litar, gadis skirt mini. "tak payahlah anda pikul beban dosa diorang dedah aurat dengan promosi gambar diorang dalam kamera tuh"

awas dan berhati-hatilah!

tak sempat untuk hadir

"barakallahullakuma wabaraka alaik"

selamat menjadi suami yang soleh sahabatku, maaf atas ketidakhadiran ke Majlis Kesyukuranmu. (gambar ihsan Facebook)

Ahnaf & Nur Atiqah

Hakim & Jannah

juga kepada Abang Abu Qassim, tahniah dan semoga berbahagia sentiasa.

Abu Qassim dan Sadrina


Jumaat, Jun 08, 2012

pasti ada persaingan

"kadangkala bila bersendirian, kita akan rasa, hanya kita yang terbaik"

1. pernah kadangkala cemburu dan tak suka apabila melihat kawan lebih sedikit usaha untuk mendapatkan sesuatu (yang aku juga ingin capai perkara yang sama). nafsu dan hasutan syaitan sangat jahat. adakala ia menambahkan semangat, adakala ia menjatuhkan semangat. bila kita sedang usaha sendirian, terasa diri bersungguh-sungguh, sering juga merasa "aku adalah yang terbaik, mesti dia tak buat apa yang aku buat". mungkin itu hanya ayat untuk menyedapkan hati, tetapi ia sering kali terjadi.

2. setelah hampir 25 tahun hidup, aku sedar. persaingan tetap ada. jika hari ini kita berhajat nak bayar cukai jalan (road tax) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tarikh tamat. berasa semangat untuk bayar. sampai di kaunter JPJ, masih ada 10 orang ingin melakukan perkara yang sama dengan aku. bersaing untuk membuat cukai jalan yang baru.

3. sama juga dalam isu yang pelik, dalam pada kita merasakan hanya aku seorang yang buat kerja ini, tetapi apabila kita perhati, pasti akan ada juga orang yang buat perkara yang sama.contohnya, kita ada idea kreatif, buat beg duit daripada plastik sampah, kita berjaya cipta produk baru. tetapi bila kita berjalan meluaskan pandangan, pasti ada juga yang menghasilkan idea yang sama. cuma bezanya hasil kekemasan dan pengurusan idea itu.

Oleh itu, persaingan itu pasti tetap akan ada. Hanya perlu mendidik hati menghadapi persaingan dengan positif pemikiran. Itu sahaja yang dapat meraikan perbezaan dalam persaingan dan menghasilkan natijah yang baik kelak.

Khamis, Jun 07, 2012

matematik mengajarku berkreativiti

"seperti mana kereta manual Mlw kereta automatik."


seseorang yang pada awalnya belajar memandu dengan kereta manual, sekalipun dia sangat benci kereta manual, tetapi sekurang-kurangnya, dia tahu cara kereta itu berfungsi. Jika sejak dari awal, dia hanya belajar kereta automatik, dia akan buntu jika kereta automatiknya rosak atau terpaksa menggunakan kereta manual.

1. semasa mengajar Matematik semalam, merasakan murid sekolah kebanyakan tidak faham sistem kalkulator berfungsi. kalkulator adalah satu alat untuk mengira secara automatik tanpa menggunakan akal, malahan lebih cepat. apabila murid, sejak dari awal telah diajar menggunakan kalkulator sejak Tingkatan 1, akal mereka akan berhenti kreatif dan sukar menyelesaikan sesuatu permasalahan. apatah lagi jika di sekolah rendah mereka tidak hafal dengan sifir.

2. soalan dan sikap yang ditunjukkankan kepada aku tentang kesusahan matematik:
murid UPSR "kalau cashier kat pasaraya, dia tambah ke darab?" 
murid PMR tekan kalkulator untuk tahu jawapan sifir 8 x 9.
murid SPM tak faham konsep algebra dan trigonometri. kenapa tangen bila pindah ke sebelah jadi shift tangen. 

3. bukanlah aku nak tunjuk aku pandai dalam matematik. tegas aku katakan, aku sangat lemah matematik dan semakin aku meningkat remaja, matematik itu semakin mencabar. tetapi asasnya sejak dulu (sekolah rendah) aku dipaksa untuk hafal sifir meskipun aku selalu mengelat dan benci untuk hafal. tapi alhamdulillah aku hafal dan aku selalu tak faham fungsi sifir. sekolah menengah aku diajar dan belajar pakai buku sifir, buku banyak nombor-nombor. fuh. susah sungguh nak faham. tapi alhamdulillah aku telah faham konsep guna buku itu. Kemudian, ada kelonggaran pada tingkatan 3 untuk pakai kalkulator. sedikit sebanyak ia telah memudahkan aku. Akhirnya aku faham konsep manual kiraan dan konsep guna kalkulator untuk penyelesaian matematik. 

4. namun, murid sekarang, tak hafal sifir meskipun dalam tingkatan 5. mereka meletakkan nyawa mereka pada kalkulator untuk mendapatkan jawapan. jadi, mereka apabila tersalah tekan, mereka tidak akan merasa salah pada jawapan kalkulator. malah, dengan yakin, mereka terima bulat-bulat. tak reti nak semak semula. "aduhai, mereka sudah tersalah tekan!". apabila cikgu beritahu, jawapan itu salah barulah mereka nak tanya, "eh, macam mana boleh salah cikgu?", kita pula ditanya kenapa salah. bayangkan dalam peperiksaan sebenar? siapa nak betulkan mereka jika mereka tersalah tekan kalkulator.

5. lagi satu sikap mereka, pabila tidak bawa kalkulator dalam kelas, mereka akan terus menyerah kalah (give-up). bagi mereka, matematik akan tidak lengkap apabila tiada kalkulator. 

p/s: sesungguhnya matematik adalah subjek untuk hidup. subjek yang mengajar kita kreatif dalam setiap perkara dalam kehidupan kita. bermatematiklah dengan akalmu.

Rabu, Jun 06, 2012

restoran ku

"jika aku mempunyai restoran sendiri, aku akan ..."

1. cari pekerja dan pelayan yang sentiasa senyum (pemantauan akan dilakukan melalui borang penilaian pelanggan). pelanggan benci dengan pekerja yang masam dan berlagak hensem / cantik. kadangkala, kita nak komen sesebuah restoran tu tak boleh, sebab takkan nak cakap kat pekerja (tuan restoran pun tak kenal). borang aduan ni letak kat setiap meja makan dan peti cadangan sekali.

2. setiap pekerja akan pakai baju seragam dengan tertulis nombor (supaya pelanggan boleh buat aduan pekerja yang tidak mesra). kadangkala kita susah nak komen pekerja, sebab kita tak tahu nama dia, kalau kita buat aduan pun susah, sebab takkan nak komen rambang. bila ada nombor, senang nak terus pecat dia.

3. aku akan menyediakan buah (+kurma) secara percuma bagi pelanggan yang datang makan di situ. buah kat murah je, lagipun sunat makan buah dulu sebelum makan nasi.

4. restoran aku akan dihiasi seperti taman dan kehijauan (pokok betul, tak main lah gambar atau pokok plastik), supaya kesegaran itu ada, dan suasana pun tenang.

5. harga yang berpatutan dan sangat mampu untuk pelajar universiti, misalnya kuih-muih satu 30 sen. (tapi tak pasti lagi 10 tahun, bagaimana harga dan saiz kuih ni.

6. tidak akan memasang lagu-lagu daripada stesen muzik lagha. mungkin akan pasang ikim.fm, tv alhijrah, atau muzik yang dipilih sendiri. diselit sekali dengan peringatan, hadis atau alQuran.

7. ada ruang bacaan, sambil makan boleh tunggu membaca sekejap. membaca adalah gaya hidup.

8. air suam percuma, air kosong 20 sen. sebab nak kurangkan minum ais. tak elok tau minum ais banyak-banyak.

9. jenama bahan mentah terutama yang dalam paket (seperti milo, mee, tepung, sosej, fish ball, ayam, telur) akan dipaparkan kepada semua pelanggan melalui ruang bahan mentah. supaya keyakinan dan kepuasan pelanggan untuk makan adalah 100% yakin halal dan thoyyibah.

10. tukang masak dikehendaki senyum dan dikehendaki sentiasa membaca zikir dan alQuran. akan dipasang juga AlQuran dalam dapur. diharap dengan itu, berkat makanan ada.

ni cita-cita lagi 10 tahun. datanglah ye nanti!

Selasa, Jun 05, 2012

Selamatkan Diri Sendiri

"Aku sekarang sedang membaca buku Michael Gates Gill tentang How to Save Your Own Life"

1. Sangat cemburu dengan kawan-kawan yang sudah banyak membaca buku, malahan mereka ada yang habiskan dua tiga buku dalam 1 minggu. membaca itu adalah keperluan hidup, dan ia bukanlah hobi atau aktiviti di masa lapang. "ye, aku tahu tentang itu". sebab itu aku sering kali kesal melihat diriku, semakin lama semakin jauh ditinggalkan waktu tanpa sempat membaca beberapa helai muka surat di dalam sebuah buku.

2. Buku yang sedang ku baca sekarang adalah buku berbahasa inggeris, sangat mudah difahami kerana penulis menggunakan bahasa yang mudah. aku telah membeli buku ini dengan harga RM3 (kalau tak salah) di Pesta Buku Big Bad Wolf (ye ke?). Ini memang percubaan pertama aku untuk membaca buku berbahasa orang putih. InsyaAllah aku akan cuba habiskan buku ini.

3. Semasa membuat pilihan buku yang sesuai untuk aku baca (bilik peribadi aku ada 2 rak buku dan ada lebih kurang 100 buku, hampir 50% belum aku baca sepenuhnya, teruk tak?), masa hendak memilih buku, aku memang kurang bersemangat dan asyik rasa tekanan dengan kerja makmal aku yang sangat banyak. Aku telah memilih buku ini kerana tajuknya sangat berpadanan dengan aku. Setelah aku memilih dan membaca buku ini, ternyata tepat pilihanku. Meskipun tiada kaitan dengan akademik, tetapi ternyata, ia memberi kesedaran kepada diriku.

4. Aku tak sempat nak tulis sinopsis bab ke bab. serba ringkas, Micheal menulis pengalaman hidupnya tentang bagaimana dia menyelamatkan diri dia daripada cabaran dan dugaan hidup dengan menggantikan dengan kehidupan yang lebih tenang dan damai. kisah bagaimana dia dipecat setelah lama berkhidmat di sebuah syarikat pengiklanan yang hebat dan dalam masa yang sama dia menghadapi kanser. Kita sebagai muslim, menghadapi situasi ini, pasti kita akan kembali kepada Allah kerana kita akan yakin dengan Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Tetapi, bagaimana dengan mereka yang bukan Islam? pastilah penulis akan terfikir bermacam cara untuk melepaskan diri dari masalah ini dan mungkin antara pilihannya ialah bunuh diri. Sesungguhnya bunuh diri bukanlah penyelesaian yang baik, kerana selepas kematian akan ada lagi alam yang akan menentukan tempat istirehat kita iaitu syurga atau neraka. Perbuatan bunuh diri itu berdosa besar, pastilah neraka tempatnya.

Saya akan bercerita lagi.....

Isnin, Jun 04, 2012

jemputan di usia 24

"tak termampu untuk hadir semua"

Usia 24 (mungkin bagi sesetengah orang), ramai kenalan kita yang akan berkahwin dan ada juga yang sudah berkahwin semasa usia ini. dengan adanya teknologi internet, laman sosial melalui Facebook makluman tentang majlis kesyukuran pernikahan dan kenduri perkahwinan akan sentiasa terpapar di Wall. 

Setakat berusia 24 tahun sejak daripada Oktober, agaknya mungkin sudah lebih 50 kawan-kawan aku yang sudah berkahwin. sayangnya aku tidak dapat hadir semua, "rasa geram pun ada". maafkan aku ye sahabat-sahabat sekalian, terasa diri ini terlalu sibuk dengan kerja akademik dan faktor kewangan. sehingga pada ketika ini, aku sedikit serabut dengan kerja makmal aku yang masih lambat hasilnya.

Yang pasti, tahniah buat antum semua kerana telah berjaya melengkapkan diri dengan ikatan yang halal. Juga, mencontohi sunnah Nabi Muhammad yang menggalakkan umatnya menyelamatkan diri daripada fitnah dan ancaman zina. Sememangnya, status bujang atau single, sangat mencabar dan sentiasa diganggu gugat oleh hasutan syaitan dan nafsu. Semoga antum doakan aku dan semoga kalian dapat menjadi suami atau isteri yang soleh dan solehah.

p/s: aku sekarang sedang baca buku Abdullah Nasih Ulwan tentang Pendidikan Anak-anak dalam Islam. buku pinjaman daripada perpustakaan. huhu...

Ahad, Jun 03, 2012

Wacana Bahasa Kebangsaan

"memartabatkan bahasa terletak dalam diri kita. mengapa kita malu untuk menggunakan bahasa kita sendiri?"

1. Alhamdulillah aku berkesempatan pergi, meskipun akal kerapkali bertukar-tukar fikiran, tetapi hati tetap bertegas nak pergi ke Wacana Bahasa Kebangsaan anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM. Program tentatif sepatutnya bermula jam 2.30 petang, tetapi aku terlewat kerana berjumpa kawan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Bilik Majlis di Canselori UKM adalah kecil dan semasa kaki ku melangkah masuk, majlis baru sahaja hendak bermula. segan dan malu aku melangkah mencari kerusi kosong. dengan muka yang tebal, aku berjalan ke bahagian paling belakang. 

2. Panel yang hadir ialah Tn. Hj Borhan Md Zain, setiausaha 1 GAPENA. (aku selalu dengar tentang GAPENA, tapi aku tak pasti apakah fungsi persatuan ini). Setelah mencari di laman maya ini, tiada laman sesawang rasmi GAPENA. Hanya sempat ku temui, GAPENA adalah pendek kata  bagi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia. [klik sini]. Beliau menjelaskan tentang Akta 152 dan Akta 32. Aku tak sempat catat secara terperinci, namun, beliau melahirkan rasa kebimbangan tentang lemahnya Bahasa Melayu di negara kita sendiri terutama sikap pemimpin yang malu untuk bercakap dalam Bahasa Melayu ini dalam majlis rasmi atau temuramah. "kalau boleh, kita tukar pemimpin yang memartabatkan Bahasa Melayu". Pemimpin yang hormat akan Bahasa Kebangsaan adalah harapan kita untuk memartabatkan kembali bahasa kita.

"sayangkah kita pada bangsa kita? bahasa kita"


3. Panel kedua, Ahmad Fedtri Yahya, Pengacara Malaysia Hari Ini TV3 dan Pengamal Media. Beliau banyak berkongsi tentang pengalaman dan cabaran menggunakan bahasa dalam program siaran langsung dan media sosial. "cabaran masa kini sangat menduga, lihat bahasa komen dan pandangan dalam facebook dan youtube". Beliau juga ada menyentuh, ketidakfasihan bangsa kita dalam memberi pandangan apabila ditemuramah. sikap kita yang suka bertangguh-tangguh mempengaruhi kita dalam percakapan, misalnya banyak sangat "aaaa.... aaaaa.... saya..." lambat-lambat dan baru nak terfikir apa yang ingin dijawab. Ini sangat berbeza dengan di Indonesia, mereka dengan sukarela menyuarakan pandangan dengan baik.

"aspek bahasa dan aspek akhlak"


4. Panel ketiga Prof. Dr. Teo Kok Seong, pensyarah di ATMA. Berbangsa cina dan beliau sangat fasih berbahasa Melayu. Beliau menyentuh sikap kepimpinan negara terutama dalam isu PPSMI (Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris). "Bangsa sendiri tidak percaya dengan bahasa sendiri". Beliau juga mengkritik tajam dengan bangsa Cina yang sangat memartabatkan bahasa Mandarin di SJKC sehingga menolak pengajaran subjek Malaysia Negaraku diajar dalam Bahasa Melayu untuk sekolah rendah. 

"berlatih Bahasa Melayu, melatih kreativiti" 
contoh terbaik "ini budu baru, ini baru budu"


5. Sesi soal jawab dibuka kepada seorang sahaja iaitu Pak Kamal daripada Singapura. Beliau terhairan-hairan dengan situasi ini berlaku di Malaysia. Beliau juga menyuarakan kebimbangan akan kehilangan Bahasa Melayu seperti hilangnya martabat Bahasa Melayu di Singapura.


Akhir kata, aku tersedar akan kepentingan Bahasa Kebangsaan kita. cukuplah Tulisan Jawi semakin hilang dan malap. "bermula dengan diriku!"

Sabtu, Jun 02, 2012

Dunia Remaja

"sempat mengingatkan kepada adik-adik ini tentang hak untuk bersuara"

1. Hampir setahun aku tidak menjejakkan kaki ke program bersama adik-adik. Segala jenis program terhenti seperti motivasi, dakwah, akademik dan banyak lagi. Tetapi, yang pasti aku sangat merindui program-program sebegini. Setahun yang berlalu, seminggu selepas program bersama adik-adik di Surau Ihsan, Taman Ehsan, Kepong di Nur Lembah Pangsun, aku telah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan segala usaha ini terhenti. Akibatnya, program bersama adik-adik di Kepong yang sepatutnya diteruskan secara berkala terhenti sehingga kini. Program yang dimaksudkan ialah Muslim Teenagers atau MTeen yang telah bermula sejak November 2010 setaip bulan sehingga Mac 2011.

2. My Teen Life adalah program yang berbeza daripada MTeen di Kepong. Program ini berlangsung selama 2 hari di Nur Bukit Unggul, Jenderam Hilir. Meskipun, aku tidak terlibat dalam pengurusan ini atas kekangan masa dan lambakan kerja, namun, ada keinginan dalam diri ini untuk kembali melibatkan diri dalam program ini. Keinginan ini sentiasa ada sejak telantar di rumah, sentiasa cemburu melihat kawan-kawan yang sentiasa aktif bersama adik-adik. Adik-adik kecil inilah yang banyak mengajar aku tentang kehidupan dan kaedah menempuh segala cabaran dan halangan di bumi ini. Terbalik kan? hakikatnya, mereka ini masih muda, kerana mudanya itu, mereka sangat kreatif dan inovatif  dalam setiap perkara yang kita bincangkan.

3. Aku mengharapkan daripada penglibatan kali pertama pada tahun ini, akan menyebabkan aku akan kembali aktif dalam dunia remaja. Sekaligus, akan memberi kesinambungan kepada program di Kepong yang telah terbengkalai. Semoga mereka tidak berhenti merindui aku.

bersama kain rentang My Teen Life



slot bersama En. Baktiar Hasnan, Kaunselor daripada Universiti Multimedia Putrajaya. slot mengenali personaliti diri.

Fasilitator menyediakan "sampul surat rahsia" untuk membolehkan komen dan pandangan tentang individu itu disampaikan melalui surat tanpa perlu menyatakan secara bersemuka.

Abang Edi sedang menceriakan peserta yang kelihatan keletihan.
jemputan khas Ustazah Pilihan Aqidah Astro Oasis

peserta sedang membincangkan tajuk "sekolah tidak patut dipersalahkan dalam tragedi Cinta Monyet" dan selepas ini mereka dikehendaki untuk membentangkan di khalayak.
sesi pembentangan Sidang Pleno
selesai solat zohor
 Semoga mereka menjadi pemimpin yang soleh di masa hadapan.