Sabtu, Februari 23, 2013

kemaskan bilik anda

"aku perasan sesuatu dalam diri aku. bila aku nak buat perubahan, aku akan cuba ubah keadaan sekaliling aku dulu, baru aku ada semangat untuk berubah"

sebelum

selepas
Alhamdulillah telah tamat minggu adhoc (18-22 Februari 2013). kini tiba minggu baru. tak pasti gelaran untuk minggu ini.

Rabu, Februari 13, 2013

ustazah maimunah

"perjalanan di Perak sangat memenatkan. tetapi bak kata umi, ada keberkatan bila kita niat nak menziarah sahabat lama kerana Allah"

sudah hampir 3 minggu, umi bercerita nak pergi rumah ustazah Maimunah. ustazah Maimunah salah seorang pendidikku semasa aku di sekolah rendah islam. zaman tu, semua orang takut dengan ustazah Maimunah. dalam kelas dia, siapa buat hal, akan kena cubit. bak kata kawan sekelas aku, Hanif "masih terasa cubitan 360 darjah beliau". seingat aku, aku pun pernah kena, sampai menangis-nangis. Hanif memang selalu kena, kadang kesian tengok dia kena cubit 360. sampai terangkat kaki dia. kami faham kenapa ustazah garang, bukan sebab dera, tetapi sebab sayang. hehe...

aku ni mungkin anak ustazah Rosnah, jadi teringat dalam majlis perpisahan dengan ustazah Maimunah, kami makan di restoran Nelayan dekat Sg. Merab rasanya. masa nak berpisah, ustazah memang suka cium pipi dan peluk anak-anak kecil. masa tu aku masih kecil (darjah 4 kot) pun kena peluk sekali. masa tu tak faham kisah orang dewasa. setelah hampir belasan tahun terpisah, alhamdulillah aku ketemu balik dengan ustazah Maimunah.

"dah hensem dah dia" ucapan pertama beliau. aku tersenyum malu.

melihat keadaan ustazah yang agak kurus, mungkin kepenatan menguruskan majlis perkahwinan anaknya. masih ceria dan lihat perwatakannya masih suka dengan anak kecil. di sebalik kegarangannya yang dulu, beliau tetap sayang anak-anak kecil. terima kasih ustazah atas jasa didikan sehingga membentuk kami menjadi manusia yang berguna. semoga ustazah terus ceria. insyaAllah.


p/s: rasa nak jumpakan balik semua ustaz dan ustazah sekolah rendah islam aku. Moga Allah merahmati mereka semua.

Isnin, Februari 11, 2013

tulisan buat ibu

[tulisan di bawah ini ditujukan khusus kepada Ibu Mazuin (setelah diperbaiki tulisan dan maknanya). umumnya buat Ibu sekeluarga dan adik-adik SEE Nature (cewah, adik!)]

Meninggalkan catatan nota sebagai tanda kenangan sangatlah sukar ibu. susah untuk digambarkan melalui kata-kata. tetapi semuanya tersiman baik di hati. dalam SEE Nature 2013, "bagai pungguk rindukan bulan" seperti saya status di Facebook sangat mempunyai maksud mendalam ibu. masa saya masuk denai taman alam pada 25 Januari, malam tu 14 Rabi'ul awwal memang bulan purnama. saya tengok bulan seolah-olah saya sedang merasakan sesuatu. Perasaan yang sangat mendalam. Terpana dengan suara burung hantu (pungguk) di malam yang sepi. Jauh dalam lubuk hati, "aku merindui sesuatu". Untuk makluman ibu, tidak perlulah berprasangka bahawa saya sudah berpunya (merindukan kekasih) "oh tidak ibu." Buat apalah diri ini mencari kasih orang yang belum pasti jodohnya buat diriku. Menanti belas dan kasih sayang sebagai saudara semuslim sudah cukup ibu. "hormat-menghormati, berbudi bahasa, pandai menjaga hati, sudah cukup membuatkan hati ini tenang, ibu". Terutama sikap ibu, ayah, faiz, atthir, asil, atteya, aissar, asiff yang melayan saya dengan baik meskipun saya hanya singgah sekali-sekala. Di samping itu, keberadaan rakan-rakan muda (junior) yang saya sudah kenal (ina, ain, anis, azila, jannah, araffah, raihan) dan yang baru kenal (hafis, hudhairi, nik, nash, adib, abg halim, hayati, izzah, khai, rashidah, khadijah, farhanah, ayu) dalam SEE Nature 2013 juga memberi banyak ketenangan dalam diri ini. Terasa mahu tinggal lebih lama di sini. Namun, atas kerja yang menanti di UKM, alhamdulillah syukur dengan "hanya sempat menikmati secebis kasih sayang ibu ini".

Ibu, bagi saya "bagai pungguk rindukan bulan" sebuah perumpamaan yang sangat memberi erti mendalam. setiap manusia mencari erti ketenangan ini. Mencari-cari. Begitu juga saya, rindukan akan suasana ini dalam sehari-harian kehidupan ini. Melihatkan ibu sekeluarga dengan peserta SEE Nature yang saling bertoleransi, saling memahami, tolong-menolong adalah satu pengalaman yang indah yang sempat saya saksikan sendiri dan sukar diperolehi bersama. Alhamdulillah ibu, saya rasa pasti rakan-rakan muda saya ini merasai pengalaman yang sangat bermakna dalam SEE Nature bersama ibu. Selain itu, percayalah ibu, hubungan dan bakti yang ikhlas ini, keringat dan lelah kita yang keluar ini diniatkan kerana Allah akan melahirkan satu kepuasan yang berganda nikmatnya.

Mendengarkan kisah ibu sekeluarga, mendengarkan kisah rakan-rakan muda telah mengajar diri ini erti pengalaman dan pengajaran yang berbeza dalam setiap diri manusia. Daripada pengalaman dan pengajaran yang ditempuh inilah yang membentuk dan mencorakkan keperibadian seseorang itu, "kan ibu?" Teringat kisah Rasulullah SAW, tokoh agung dalam lembaran sirah. Sebagaimana Rasulullah yang dilahirkan tanpa ayahanda, dibesarkan tanpa bonda, didewasakan oleh bapa saudara ditambah dengan pelbagai pengalaman dan keperitan hidup, telah menjadikan Baginda tokoh terulung dengan keperibadian dan akhlak yang sangat tinggi. "begitulah ibu, dalam status di Facebook, saya terkenang akan seseorang itu yang penuh dengan pancaroba hidup, dan kini beliau menjadi seorang yang sangat berakhlak mulia."

Saya juga inginkan sebegitu ibu, ingin menjadi seorang yang sangat tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan di dunia ini. dalam pada masa yang sama, masih mengekalkan akhlak islami yang baik kepada Allah dan sesama insan. "oh, bagai pungguk rindukan bulan kah?" untuk saya capai semua ini ibu? melihat ibu yang gigih berkerja dan berusaha, dengan kehadiran suami dan anak-anak yang baik, saya yakin, jika kita berusaha (meskipun sukar) memahami dan belajar dari pengalaman dan pengajaran kehidupan orang lain, akan menjadikan kita insan yang lebih baik nanti.

"Mengenang kembali semua ini ibu, menjadikan kita lebih matang". Ibu, kalau dilihat dari peribahasa dan perumpamaan orang-orang terdahulu, mereka banyak menggunakan elemen alam dan seni dalam mendidik diri generasi akan datang. Agaknya kalau kita dapat gilap program SEE Nature ini, pasti ia akan menjadi lebih baik dalam membentuk keperibadian seseorang itu. SEEK memerhati kejadian dan makhluk alam di sekeliling kita seperti kera, lotong, burung, rama-rama, kelip-kelip yang sentiasa berzikir kepada Allah. Fungsi masing-masing hidupan ini adalah untuk kesejahteraan manusia. Kita dan mereka saling memerlukan. EDUCATE pemahaman akan interaksi ini membuatkan kita memahami alam dan menghargainya. dan EMBRACE dari sinilah, kita akan mula meyayangi alam dan sesama manusia. "Seperti ibu kata, ibu suka korek rahsia seseorang itu (bukan untuk mencari aib atau ada muslihat) tetapi untuk ibu kenali mereka lebih rapat = SEEK. Kemudian ibu bantu setiap individu itu melalui nasihat dan sokongan = EDUCATE. Dan dari situ timbul rasa kasih sayang kita bersama = EMBRACE.

Terima kasih ibu, pengalaman 18 hari (bagi mereka) dan 8 hari (bagi saya) banyak mengajar kami erti hubungan sesama insan dan sesama alam. Pastinya ia akan membawa kita menuju kepada keredhaan Ilahi. Terima kasih ibu.

SEE Nature is a never ending story.


Ahad, Februari 10, 2013

tidak mahu nyanyuk

"kelam kabut aku mencari dua tiket bas rakan muda (junior) aku ni."

Program SEE Nature yang aku kendalikan di Kuala Selangor akan berakhir lagi dua hari. aku diminta oleh rakan muda aku ini untuk belikan tiket bas untuk ke Larkin dan Kuala Terengganu pada 7 atau 8 Februari di Hentian Kajang. dalam keadaan yang sangat singkat, aku berjaya mendapatkan tiket dan aku simpankan dahulu selama 2 hari dan bercadang untuk beri semasa majlis penutup di Kuala Selangor.

Hari terakhir, aku bertolak ke sana dengan ketua projek aku (DWJ), terlupa bawa tiket. sampai di sana, aku  geram dan senyap je yang tiket tu tertinggal. yakin aku simpan di rumah. setelah tamat majlis, aku terus ke rumah dengan rakan kerja, En. Ruzi. cari punya cari dalam rumah tak jumpa. aku mulai risau.

Rakan muda aku masih dalam perjalanan ke UKM dengan bas, aku terus tumpang En. Ruzi ke UKM. aku cuba cek dalam kereta aku. jenuh aku mencari, dalam drawer, dalam beg, beg baju, bonet, dalam selitan buku. semua tiada. Hanya Allah je tahu, betapa bimbangnya aku. ini bukan soal duit atau tidak! tetapi ini soal janji, aku dah janji dengan mereka. aku terus mencari.

Aku berlari ke makmal palinologi tingkat 3, masih tak jumpa. berpeluh aku. dapat SMS daripada Azleena "kami baru masuk pagar UKM". aku terus istighfar, selawat, mohon dijumpakan tiket tersebut. aku memang tekad nak balik rumah semula, cari dalam bilik aku yang bersepah dengan fail SEE Nature.

Masuk kereta semula, Allah ilhamkan aku lihat pada penghadang cahaya matahari (sunlight block), aku selit di situ. rasa syukur sangat.... Ya Allah, aku tidak mahu nyanyuk! ampunkanlah dosaku. bantulah hambamu ini fokus dan jelas dengan setiap langkahku dan perbuatanku.


p/s: aku tak pasti nak guna istilah junior dalam bahasa melayu. rujuk DBP bermaksud muda. sebagai contoh junior minister ialah menteri muda. kalau senior ialah kanan. sebagai contoh senior lecturer  ialah pensyarah kanan.

Khamis, Februari 07, 2013

hormati yang lebih besar

apabila berurusan dengan orang besar, kita hendaklah menghormati mereka dan beradab sopan dengan mereka. selagi mereka beriman kepada Allah (bagi muslim) dan selagi mereka tidak menghina islam (bagi bukan islam). baru-baru ini aku berurusan dengan PSKG melalui emel, jawatannya agak tinggi dalam UKM, boleh dikatakan sebagai orang kedua tertinggi dalam UKM. aku bila berurusan dengan orang besar ni, aku kekok kalau berjumpa terus, aku lebih suka melalui tulisan (emel atau SMS) tapi dalam bentuk gaya bahasa yang sopan.

aku bersama rakan-rakan kelabku sedang menganjurkan program SEE Nature selama 20 hari (masa tu hari ke 13), dan kami akan mengadakan Kempen Kesedaran Alam di Taman Alam Kuala Selangor. Aku mewakili rakan-rakan kelab untuk menjemput beliau memberikan ucapan dan merasmikan majlis. dalam pada masa yang sama, kami bercadang nak jemput beliau untuk berjalan kaki ke dalam denai ke hutan paya bakau, tetapi kami risau akan keadaan yang jauh tidak sesuai untuk beliau. jadi aku tulis lah ayat-ayat untuk tidak memaksa beliau (seperti di bawah):

Jika Prof. Dato' berkelapangan selepas jamuan dan sidang media (anggaran sekitar jam 10.30 pagi), beberapa orang peserta akan menemani Prof. Dato' untuk masuk ke kawasan denai alam di Taman Alam sehingga ke kawasan laluan Hutan Paya Bakau (lawatan). sementara peserta yang lain akan menjalankan aktiviti pendidikan kepada pelajar sekolah. semasa perjalanan itu, Prof. Dato' boleh mendengar penerangan daripada para peserta yang mengiringi Dato' tentang pengalaman mereka dan modul yang telah mereka pelajari. 

 Di sini, saya mewakili para peserta ingin menceritakan serba sedikit tentang keadaan di situ. Jika keadaan ini tidak sesuai untuk Dato', harap Dato' dapat maklumkan kepada kami dan kami akan memahami kehendak Dato' untuk tidak menyertai lawatan ini. 

  • perjalanan lebih kurang 700 m sehingga ke Paya Bakau (pergi balik dengan jalan terdekat 1.4 km) 
  • laluan denai tidak terlalu rata, tidak terlalu lembap dan basah. 
  • jika tidak hujan, insyaAllah laluan dalam keadaan baik perjalanan mengambil masa 15 minit ke Paya Bakau.

sepanjang laluan tersebut sambil peserta UKM akan bercerita dengan Prof, insyaAllah jika berkesempatan, kita akan dapat melihat sekumpulan lagi peserta UKM melakukan modul pendidikan kepada pelajar sekolah di sana.


PSKG tidak membalas emel ini, malah tiada respon juga daripada pejabat beliau, aku dah risau "adakah aku tersalah cakap? di hari kejadian (2 Februari) beliau hadir, alhamdulillah. aku tak berbual dengan beliau, "rasa macam tak layak, hehe...". cuma ada sesuatu yang aku terkejut semasa ucapannya di khalayak pelajar sekolah, orang awam, pelajar UKM dan VIP.

"mana Arrabe'..?"
masa ni aku memang sedang menjadi runner, lari sana lari sini. alhamdulillah masa ni aku ada kat tepi pengacara majlis. dengan pantas, aku angkat tangan sebab mata beliau melilau mencari aku. huhu.

"ha.. itu kamu. saya baru-baru dapat emel beliau"
beliau baca balik apa yang aku tulis (dalam bentuk yang ringkas).

Maaf Prof. Dato' atas emel yang terlalu panjang ini. Saya pasti lebih banyak cerita daripada peserta SEE Nature nanti. Jika Prof. Dato' tidak dapat masuk ke denai dalam Taman Alam ini, kami memahami. Semoga dapat berjumpa Prof. Dato' dalam Majlis Sambutan Hari Tanah Bencah Sedunia ini nanti. Terima kasih Prof. Dato'

"hallo!!! ingat saya tak boleh jalan ke?"
hehe.. sentap kejap. tapi selamat dia tambah ayat.

"saya banyak terima emel yang panjang, dan inilah antara emel yang paling menarik."
alhamdulillah. sekian.

bukan alasan

sudah lama tak menulis, rasanya bila buka akaun Facebook akan menyebabkan aku mati idea nak menulis panjang dalam blog. sebenarnya, tak patut kita mengatakan Facebook itu sebagai punca kita malas nak menulis. bukan sebab Facebook, tetapi ia adalah masalah diri kita. kita tak pandai nak beri diri kita masa untuk menulis di sini.

aku teringat kes serupa dalam menyiapkan tesis sarjanaku. aku kerap kali menjadikan alasan lain untuk melegakan hati. kalau aku masih ingat tahun 2011, sengaja melewatkan pencarian kepustakaan akibat terlalu sibuk dnegan kerja sebagai pembantu penyelidik di bawah DNT, sekali, bila dah kemalangan, aku jadiakan alasan kemalangan pula untuk aku melewatkan tesis. setelah kaki sembuh dan tak perlu lagi memakai tongkat, aku menggunakan alasan semangat hilang (no mood). semesert pertama 2012, duit bulanan daripada Zamalah UKM dihentikan, aku menjadikan masalah kewangan sebagai punca melewatkan tesis. kini aku sibuk kembali sebagai pembantu penyelidik di bawah DWJ.

Alasan tidak membantu kita ke arah kebaikan. sungguh!