Rabu, November 14, 2012

5 bulan berlalu

"Rejab bulan untuk kita hayati peristiwa Isra' Mikraj dan bermuhasabah diri akan alam akhirat, Syaaban bulan persediaan, Ramadhan bulan untuk memohon pengampunan kepada Allah, Syawal dan Zulkaedah bulan untuk kita mengambil mengekalkan momentum Ramadhan, Zulhijjah bulan untuk kita lakukan pengorbanan untuk lebih beriman kepada Allah dan kini Muharram bulan untuk kita buktikan pengorbanan itu dengan membuat perubahan secara istiqamah."

kalau aku masih ingat semasa Rejab tiba, semangatku menjadi berkobar-kobar dan mulai terasa kerinduan kepada Ramadhan. masa ini juga aku banyak mendengar ceramah tentang perjalanan Nabi Muhammad dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. tahun lepas (2011) aku sempat menulis berkenaan wanita, tahun ini, aku hanya sempat berkongsi di Facebook sahaja.







bila masuk Syaaban, aku masih ingat lagi dengan kegigihan mencari segala buku dan video ceramah persediaan menghadapi Ramadhan. apa yang sering kita lupa dan apa yang kita patut tahu. semua itu mendidik diri untuk meraikan ketibaan bulan yang penuh barakah. masih ingat aku tulis tentang majlis ilmu. terasa seronok sehingga aku sanggup fokus seminggu buat kad Ramadhan.




bila mulai Ramadhan, susah sungguh untuk kita biasakan perkara yang baik. terutama waktu berbuka dan solat terawih. sangat payah untuk istiqamah makan sedikit dan solat terawih sebanyak mungkin. lagi payah bila nak khatamkan satu juzuk satu hari. bila hati lalai, sekejap je sehari itu berlalu, dan esoknya kita terpaksa baca 2 juzuk. begitulah seterusnya. ternyata bulan Ramadhan yang dinanti juga telah berlalu.



masuk Syawal, sedih bercampur duka. sedih sebab nak istiqamahkan sesuatu yang sudah terbiasa kini banyak godaan dan gangguan dari syaitan. duka sebab rasa macam tak cukup sebulan yang berlalu. rasa macam nak lagi. bak kata orang tak puas! ternyata bulan Syawal paling kuat cabarannya, seolah-olah syaitan semua nak balas dendam setelah mereka sebulan dirantai dan diseksa dalam Api Neraka. aku juga terbabit sama, terpaksa berperang dengan syaitan, makan tak ingat dunia, kadangkala hati menjadi alpa. Astagfirullah, bila rasa beza bulan Ramadhan dan Syawal kini, rasa sangat rugi kalau kita balik semula kepada sikap kita sebelum Ramadhan dulu.

Zulkaedah satu bulan yang menjadi penentu kepada diri aku. sama ada aku berjaya mengekalkan momentum Ramadhan ataupun aku telah merugikan diri aku sendiri. ternyata Zulkaedah bulan yang menguji ke-istiqamahan kita. aku cuba renung dan fikir di mana silap aku. masa ini sudah mulai banyak kisah tentang haji dan pengorbanan. mulai rasa diri ini sangat tak layak menjadi seperti Nabi Ismail yang patuh 100% kepada Allah. tetapi bila fikir semula, "memang aku bukan nabi, tetapi kenapa aku tak mencontohinya?". Baginda Nabi Ismail sanggup berkorban nyawa hanya kerana perintah Allah. kita? Allah tak suruh kita bunuh diri atau bunuh orang lain, Allah hanya suruh kita abdikan diri kepada Allah dan jauhi maksiat, kenapa aku tak boleh?

Zulhijjah tiba dan aku perlukan sesuatu untuk buktikan aku ingin berubah. sebelum aku berubah, aku perlukan pengorbanan! pengorbanan adalah bukti aku sanggup ketepikan apa sahaja di dunia ini hanya kepada Allah. tetapi mampukah? "takpe, buat pengorbanan kecil-kecilan dulu" qurbankan harta, qurbankan masa rehatku, qurbankan nafsuku hanya kerana Allah. "sekali lagi ia bukan mudah!"

sejak hari itu, aku tetapkan dalam hati aku, jika sesiapa sahaja yang datang kepadaku meminta pertolongan atau rezeki, itu adalah jalanku untuk aku membantunya. kita adalah khalifah atau pemimpin. kita ada rezeki di tangan kita! menjadi tugas kita sebagai khalifah untuk memberikan rezeki Allah yang pada tangan kita kepada orang lain juga. sebab kita khalifah. ternyata duit bukan segalanya. duit berpuluh ribu habis begitu sahaja dalam masa yang singkat hanya untuk kepentingan peribadi dan bayaran hutang. apalah erti duit yang dicari itu?

nah! Muharram tiba... pengorbanan telah dilakukan. hampir sahaja poket kosong dan masa rehat itu hilang. janji aku untuk berubah sudah tiba. ambil semangat hijrah Nabi Muhammad. dengan keyakinan yang teguh kepada Allah (yakin dengan janji Allah), Baginda sanggup meninggalkan harta dan keluarga di Makkah untuk menyebarkan risalah Islam di Madinah. sangat bersusah payah.


5 bulan berlalu...
aku ingin berubah atas pengorbanan yang telah aku lakukan hanya kerana Allah.
maafkan aku sahabat-sahabat.

Tiada ulasan: