Mohd Khaidir Abu Talib melalui highday_da_great@yahoo.com telah menghantar emel nasihat kepadaku. teringat buku la tahzan. subhanallah. aku sangat terisi di pagi hari ni. untuk aku memulakan kehidupan yang lebih gembira dan tidak pernah lemah untuk meneruskan usaha dakwah!
Jangan Berdukacita
Bersedih hati itu tidak memeberi sebarang manfaat, justeru itu ianya sangat dilarang dalam agama sebagaimana telah ditegaskan dalam firman Allah yang berikut,
“Dan, janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam) dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang menimpa kamu)”
(QS. Ali 'Imran: 139)
"Janganlah bersedih atas mereka"
“Janganlah kamu berdukacita sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita”
(QS. At-Taubah: 40)
“Nescaya tidak ada kebimbangan terhadap mereka (dari sesuatu yang tidak baik), dan mereka pula tidak akan berdukacita”
(QS. Al-Baqarah: 38)
Bersedih itu hanya akan memadamkan api semangat, melemahkan tekad dan membekukan jiwa. Dan kesedihan itu ibarat penyakit demam yang membuat tubuh menjadi lemas tidak berdaya. Mengapa demikian?
Sudah tentu begitu kerana kesedihan hanya memiliki daya yang menghentikan dan bukan menggerakkan. Dan itu bererti ia sama sekali tidak bermanfaat bagi hati. Bahkan, kesedihan merupakan satu hal yang paling disenangi syaitan. Maka dari itu, syaitan selalu berupaya agar seorang hamba bersedih untuk menghentikan setiap langkah dan niat baiknya. Ini telah diperingatkan Allah dalam firman-Nya,
“Sesungguhnya perbuatan berbisik (dengan kejahatan) itu adalah dari (hasutan) syaitan untuk menjadikan orang-orang beriman berdukacita”
(QS. Al-Mujadilah: 10)
Rasulullah s.a.w. pernah melarang tiga orang yang sedang berada dalam satu majlis, "Janganlah dua orang melakukan percakapan rahsia tanpa disertai yang ketiga, sebab yang demikian itu akan membuatnya berdukacita." Dan bagi seorang mukmin, kesedihan itu tidak pernah diajarkan dan dianjurkan. Soalnya, kesedihan merupakan penyakit yang berbahaya bagi jiwa.
Kerana itu pula, setiap muslim diperintahkan untuk mengusirnya jauh-jauh dan dilarang tunduk kepadanya. Islam juga mengajarkan kepada setiap muslim agar sentiasa melawan dan menundukkannya dengan segala cara yang telah disyariatkan Allah s.w.t.
Bersedih itu tidak diajarkan dan tidak bermanfaat. Maka dari itu, Rasulullah s.a.w. sentiasa memohon perlindungan dari Allah agar dijauhkan dari kesedihan. Beliau selalu berdoa seperti ini,
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rasa sedih dan duka cita."
Kesedihan adalah teman akrab kecemasan. Adapun perbezaannya antara keduanya adalah apabila suatu hal yang tidak disukai hati itu berkaitan dengan hal-hal yang belum terjadi, ia akan menghasilkan kecemasan. Sedangkan bila berkaitan dengan persoalan masa lalu, maka ia akan menghasilkan kesedihan. Dan persamaannya, keduanya sama-sama dapat melemahkan semangat dan kehendak hati untuk berbuat suatu kebaikan.
Kesedihan dapat membuat hidup menjadi keruh. Ia ibarat racun berbisa bagi jiwa yang dapat menyebabkannya lemah semangat, hilang ghairah dan kacau dalam menghadapi hidup ini. Dan ia akan berakhir pada ketidakpedulian diri pada kebaikan, ketidakpedulian pada kebajikan, kehilangan semangat untuk meraih kebahagian dan kemudian akan berakhir pada pesimisme dan kebinasaan diri yang dahsyat.
Meski demikian, pada tahap tertentu kesedihan memang tidak dapat dihindari dan seseorang terpaksa harus bersedih karena suatu kenyataan. Berkenaan dengan ini, disebutkan bahawa para ahli syurga ketika memasuki syurga akan berkata,
“Segala puji bagi Allah yang telah menghapuskan perasaan dukacita dari kami”
(QS. Fathir: 34)
Ini menandakan bahawa ketika di dunia mereka pernah bersedih sebagaimana mereka pernah ditimpa musibah yang terjadi di luar ikhtiar mereka. Hanya ketika kesedihan itu harus terjadi dan jiwa tidak lagi memiliki cara untuk menghindarnya, maka kesedihan itu sebaliknya akan mendatangkan pahala. Itu terjadi kerana kesedihan yang demikian merupakan sebahagian dari musibah atau cubaan. Maka dari itu, ketika seorang hamba ditimpa kesedihan hendaknya ia sentiasa melawannya dengan doa-doa dan cara-cara lain yang memungkinkan untuk menghalaunya.
“Dan tidak juga berdosa bagi orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon), supaya engkau memberi kenderaaan kepada mereka, engkau berkata: "Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu", mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan air mata yang bercucuran kerana sedih bahawa mereka tidak memperoleh sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad di jalan Allah)”
(QS. At-Taubah: 92)
Demikianlah, mereka tidaklah dipuji disebabkan kesedihan mereka semata-mata. Tetapi adalah disebabkan kesedihan mereka itu mengisyaratkan kuatnya keimanan mereka. Kerana kesedihan mereka berpisah dengan Rasulullah adalah disebabkan tidak mempunyai harta yang akan dibelanjakan dan kenderaan untuk membawa mereka pergi berperang. Ini merupakan peringatan bagi orang-orang munafik yang tidak merasa bersedih dan sebaliknya gembira apabila tidak berkesempatan untuk turut berjihad bersama Rasulullah.
Kesedihan yang terpuji adalah kesedihan yang disebabkan oleh ketidakmampuan menjalankan suatu ketaatan atau disebabkankan tersungkur dalam jurang kemaksiatan. Dan kesedihan seorang hamba yang disebabkan oleh kesedaran bahawa kedekatan dan ketaatan dirinya kepada Allah sangat kurang. Maka, hal itu menandakan bahawa hatinya hidup dan terbuka untuk menerima hidayah dan cahaya- Nya.
Sementara itu, makna sabda Rasululllah dalam sebuah hadis shahih yang berbunyi, "Tidaklah seorang mukmin ditimpa sebuah kesedihan, kebimbangan dan kerisauan, kecuali Allah pasti akan menghapus sebahagian dosa-dosanya," adalah menunjukkan bahawa kesedihan, kebimbangan dan kerisauan itu merupakan musibah dari Allah yang apabila menimpa seorang hamba, maka hamba tersebut akan diampuni sebagian dosa-dosanya. Dengan begitu, hadis ini tidak menunjukkan bahawa kesedihan, kebimbangan dan kerisauan merupakan suatu keadaan yang harus diminta dan dirasakan.
Bahkan, seorang hamba sebaliknya tidak dibenarkan meminta atau mengharap kesedihan dan mengira bahawa hal itu merupakan sebuah ibadah yang diperintahkan, diredhai atau disyariatkan Allah untuk hamba-Nya. Sebab, jika memang semua itu dibenarkan dan diperintahkan Allah, pastilah Rasulullah s.a.w. akan menjadi orang pertama yang akan mengisi seluruh waktu hidupnya dengan kesedihan-kesedihan dan akan menghabiskannya dengan kebimbangan. Dan hal seperti itu jelas sangat tidak mungkin. Kerana, sebagaimana kita ketahui, hati beliau selalu lapang dan wajahnya selalu dihiasi senyuman, hatinya selalu diliputi keredhaan dan perjalanan hidupnya selalu dihiasi dengan kegembiraan.
Memang, dalam hadis Hindun ibn Abi Halah tentang sifat Nabi s.a.w. disebutkan bahawa, "Sesungguhnya, dia selalu bersedih". Namun, hadis ini kurang dapat dipercayai, sebab dalam sanad perawinya terdapat seorang perawi yang tidak dikenali. Selain itu, muatan hadis inipun jelas sangat bertentangan dengan realiti kehidupan Rasulullah s.a.w.
Bagaimana mungkin Rasulullah dikatakan selalu dirundung kesedihan? Bukankah Allah telah melindungi beliau dari kesedihan yang berkaitan dengan urusan keduniaan dan semua unsur-unsurnya, melarangnya agar tidak bersedih atas perilaku orang-orang kafir, dan mengampuni semua dosa-dosanya yang telah berlalu mahupun yang belum terjadi? Lantas, dari manakah sumber kesedihan itu? Bagaimana pula kesedihan itu dapat menembus pintu hati beliau? Dan dari jalan manakah kesedihan itu dapat menyusup ke dalam lubuk hatinya? Bukankah beliau s.a.w. sentiasa hatinya diliputi zikir, jiwanya dialiri semangat istiqamah, fikirannnya selalu dibanjiri hidayah rabbaniyah dan hatinya sentiasa tenteram dengan janji Allah serta rela dengan semua ketentuan dan perbuatan-Nya? Bahkan, Rasulullah adalah orang yang terkenal ramah dan murah senyum sebagaimana dilukiskan oleh salah satu gelarnya sebagai ‘seseorang yang murah senyum .’
Siapa saja membaca, menghayati dan mendalami sejarah perjalanan hidup beliau dengan seksama dan menyeluruh, maka ia akan mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. diturunkan ke dunia ini untuk menghancurkan kebatilan, mengusir kesuntukan, kegelisahan, kesedihan dan kecemasan, serta membebaskan jiwa dari tekanan keragu-raguan, kebingungan, kegundahan dan kegoncangan. Bersamaan dengan itu, beliau juga diutus untuk menyelamatkan jiwa manusia dari segala bentuk hawa nafsu yang membinasakan. Maka begitulah, betapa banyaknya kurnia Allah yang telah dianugerahkan kepada manusia.
Ada sebuah hadis menyebutkan bahawa, "Sesungguhnya Allah sangat mencintai hati yang sentiasa bersedih." Namun, hadis ini ternyata tidak memiliki sanad dan perawi yang jelas dan kurang dapat dipercayai kesahihannya. Selain itu, hadis ini juga tidak dapat dikategorikan shahih kerana sangat bertentangan dengan ajaran agama dan tuntunan syariat. Dan kalau memang khabar (hadis) itu akan dianggap shahih, maka penjelasannya adalah demikian: kesedihan itu adalah salah satu musibah dari Allah yang ditimpakan kepada hamba-Nya untuk mengujinya. Artinya, jika hamba tersebut mampu menghadapinya dengan kesabaran, maka sesungguhnya Allah mencintai kesabaran orang tersebut dalam menghadapi cubaan itu.
Demikianlah, maka merupakan kesalahan besar bagi orang-orang yang memuja kesedihan, sentiasa berusaha menciptakan kesedihan, dan mencuba membenar-benarkan kesedihan mereka dengan dalih bahawa syariat telah menganjurkan dan memandangnya sebagai sesuatu yang baik. Sebab pada kenyataannya dalil-dalil syariat melarang hal itu. Bahkan, syariat sebaliknya memerintahkan setiap manusia agar tidak bersedih dan selalu ceria.
Hadis lain menyebutkan, "Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia akan memancangkan sebuah gemuruh ratapan di dalam hatinya. Dan apabila Dia membenci seorang hamba, maka Dia akan menanamkan seruling nyanyian di dalam dadanya." Memang, hadis ini bersumber dan berasal dari Israiliyat (mitos Bangsa Israel). Ada pula yang mengatakan bahawa hadis ini termaktub dalam Taurat. Meski demikian, perkataan ini memiliki pesan makna yang benar.
Sebagaimana sering kita lihat, orang mukmin akan sentiasa bersedih atas dosa-dosa yang pernah dilakukannya, sementara orang yang derhaka akan senantiasa lalai, tidak pernah serius dan berdendang kegirangan di atas dosa-dosanya. Dan kalaupun ada kesedihan yang menimpa orang-orang soleh, maka itu tidak lebih dari sebuah penyesalan terhadap kebaikan-kebaikan yang dilewatkan, ketidakmampuan mereka mencapai darjat yang tinggi dan kesedaran bahawa mereka telah melakukan banyak kesalahan. Demikianlah, alasan yang mendasari kesedihan ini berbeza dengan alasan yang mendasari kesedihan orang-orang yang durhaka. Mereka bersedih kerana tidak mendapatkan keduniaan, keindahan dan kenikmatan duniawi. Kesedihan, kebimbangan dan kegelisahan mereka adalah kerana keduniaan, untuk keduniaan dan di jalan menuju keduniaan.
Dalam sebuah Firman-Nya, Allah menceritakan keadaan seorang nabi dari Bani Israel seperti berikut,
“Dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati”
(QS. Yusuf: 84)
Ayat ini mengisahkan tentang kesedihan Nabi Ya'qub saat kehilangan anak yang menjadi kekasihnya. Ini merupakan khabar bahawa cubaan tersebut sama beratnya dengan musibah atau ujian yang dirasakan oleh seseorang saat dipisahkan dengan buah hatinya. Betapapun, ayat di atas hanya sekadar memberi khabar dan lukisan tentang beratnya cubaan seorang nabi. Dan itu bukan berarti bahawa kesedihan seperti itu diperintahkan atau dianjurkan. Bahkan sebaliknya, kita diperintahkan untuk ber-isti'adzah (memohon perlindungan) kepada Allah dari segala kesedihan. Sebab, bagaimanapun kesedihan adalah lakasana awan tebal, malam pekat yang panjang dan aral panjang yang melintang di tengah jalan ke arah kemuliaan.
Selain Abu Utsman al-Jabari, semua ahli sufi sepakat bahawa bersedih kerana perkara duniawi itu tidak terpuji. Menurut Abu Ustman, kesedihan itu apapun bentuknya adalah sebuah keutamaan dan tambahan kebajikan bagi seorang mukmin, iaitu dengan syarat bila kesedihan itu bukan disebabkan suatu kemaksiatan. la juga mengatakan, "Bahawa kalau kesedihan itu tidak diwajibkan secara khusus, maka ia diwajibkan sebagai cara menyucikan diri."
Malahan ada pula yang berkata, "Tidak diragukan lagi bahwa kesedihan merupakan ujian dan cubaan dari Allah sebagaimana halnya penyakit, kebimbangan dan kekacauan. Namun jika dikatakan bahawa kesedihan adalah peringkat yang harus dilalui seorang sufi adalah tidak benar."
Atas dasar itu, sebaiknya anda berusaha untuk sentiasa gembira dan berlapang dada. Jangan lupa memohon kepada Allah agar selalu diberi kehidupan yang baik dan diredhai, kejernihan hati dan kelapangan pikiran. Itulah kenikmatan-kenikmatan di dunia. Bagaimanapun, sebahagian ulama mengatakan bahwa di dunia ini terdapat syurga, dan barangsiapa tidak pernah memasuki syurga dunia itu, maka ia tidak akan masuk syurga akhirat.
Allah adalah satu-satunya Dzat yang patut kita mohon agar melapangkan hati kita dengan cahaya iman, menunjukkan hati kepada jalan- Nya yang lurus dan menyelamatkan kita kehidupan yang susah dan menyesakkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan