Selasa, Februari 23, 2010

Coretan hati seorang yang bergelar MUSLIMAH


xtahu kenapa aku nak publish emel yang aku baca ni. tapi bibit ayat sangat memberi makna yang mendalam. adakah ini suara seorang muslimat? no komen banyak2. sama2 merenung diri. terima kasih kepada skme23@yahoo.com melalui remaja_masjid.yahoogroups.com

Coretan hati seorang yang bergelar MUSLIMAH...


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkan aku begitu berani mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah aku kenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya aku khususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang ku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu, itulah hati dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Ibu telah mendidikku semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana ALLAH telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu-bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil-alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi. Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu.
Aku menghalang diriku daripada mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka. Kerana itulah aku sedaya kudrat yang lemah ini membatasi pergaulanku dengan bukan mahramku. Aku lebih suka berada di rumah kerana rumah itu tempat terbaik buat seorang perempuan. Aku sering berasa tidak selamat diperhatikan lelaki. Bukanlah aku bersangka buruk terhadap kaummu, tetapi lebih baik aku berwaspada kerana contoh banyak didepan mata.
Aku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik memerhati diriku atau cuba menegurku. Aku sedaya mungkin melarikan pandanganku daripada lelaki ajnabi kerana Sayyidah Aisyah r.a pernah berpesan, "Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki." Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apalah gunanya aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang.
Aku tidak berasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku berasa terhina diperlakukan begitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan ALLAH kelak andai disoal? Kalau aku tidak ingin engkau memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menhias peribadiku kerana itulah yang dituntut oleh ALLAH. Kalau aku ingin lelaki yang baik menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah ALLAH telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak ku nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyangi dan disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. ALLAH telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Engkau berhak mendapat kasih yang tulen.

Diriku yang sememangnya lemah ini telah diuji oleh ALLAH apabila seorang lelaki ingin berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai-bagai dalil aku kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku terasa seolah-olah kehidupanku yang tenang sebelum ini telah dirampas dariku. Aku tertanya-tanya adakah aku berada di tebing kebinasaan? Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.

Kehadirannya membuat aku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau ku rasakan seolah-olah wujud bersamaku. Di mana sahaja aku berada, akal sedarku membuat perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang melamarku itu bukan dirimu. Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman hidupku kelak. Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti wanita solehah yang lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu. Tidak perlu kau miliki wajah setampan Nabi Yusuf a.s, juga harta seluas perbendaharaan Nabi Sulaiman a.s, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi Muhammad s.a.w, yang mampu mendebarkan hati jutaan gadis untuk membuat aku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, ALLAH pasti mencampakkan rasa kasih dalam hatiku jua hatimu. Itu janji ALLAH. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak punya hak untuk berbuat begitu. juga jangan melampaui batasan yang telah ALLAH tetapkan. Aku takut perlakuan itu akan memberi kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan ALLAH dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itu impianku.
Aku pasti berendam air mata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Cukuplah kau mencintai ALLAH dengan sepenuh hatimu kerana dengan mencintai ALLAH, kau akan mencintaiku kerana-Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga...
Wassalam...

Sumber..?

Tiada ulasan: