Menagih janji dan mengejar janji adalah dua perkara berbeza. Bagiku menagih janji kita mengharapkan janji yang dibuat ditunaikan, tetapi bagi mengejar janji ialah menunggu janji yang tak berkunjung tiba, malah kita yang mengejar janji itu supaya ditunaikan.
Alkisah 5 hari berlalu, aku mengejar janji seseorang yang aku anggap macam cikgu tetapi sejak kes ini, aku kurang hormat terhadapnya. Patutkah aku bersikap sedemikian?
Isnin lalu, aku bertiga bersama rakan sepejabat telah membuat temujanji dengan beliau. Jam 3 petang dari wangsa maju ke universiti (40 km), namun beliau tiada. Sejam setengah tunggu dengan usaha tanya pejabat, pelajarnya dan staf, hasilnya buntu. Aku hanya tinggal note di pintunya. Kami pulang ke pejabat dengan hampa.
Selasa, aku seawal pagi ke universiti lagi, tunggu sejam setengah, beliau masih tiada. Sebelum balik, aku dapat bercakap dengannya, beliau kata beliau cuti hari ni dan akan siapkan esok petang.
Rabu, tiada respon emel. Malam aku singgah biliknya di universiti. Alhamdulillah, beliau ada. Tetapi janjinya tidak tertunai. Aku mohon khamis ni, namun beliau tidak mampu dan mohon jumaat. Aku terdesak memaksanya, namun alasan beliau sangat kuat dan aku terpaksa akur atas dasar manusiawi dan bukannya seperti ah long memeras ugut.
Khamis, aku dimarahi oleh bos aku. Sehinggakan aku terpaksa membangkang cakap bos aku. Bagiku, jika ia melebihi batas prinsip aku, aku akan bangkang. Jadi aku mohon bosku untuk suruh orang lain yang lebih bagus dariku. Rakanku tidak berjaya juga.
Jumaat, sampai ke petang, aku masih tak dapat emelnya. Aku naik radang. Sejam setengah aku tunggu dibiliknya, call pun tak angkat.
Sabtu, aku bertekad ke rumah beliau. Tapi alamatnya aku tak tahu. Yang aku tahu beliau berjiran dengan seorang pensyarah yang aku kenal. Atas bantuan pensyarah itu, aku berjaya. Aku jumpa beliau dan menuntut janji untuk serah semua data yang dia ada. Dia kata baru 60%. Dia minta petang, aku dah tak percaya. Aku paksa, akhirnya dia tetap menang. Petang dia emel yang 60% dan berjanji lagi 40% malam. Sampai malam pun takde berita. Aku hampir give up.
Ahad, aku sms lagi buat sekian kalinya. Dia kata masih belum siap. Allahu rabbi... Maaf dr. Saya bukan memaksa dr siapkan dalam masa singkat, tetapi laporan ni kami dah minta dari awal tahun, tetapi dr asyik tangguh sebab ni dan itu. Kali ini kami terpaksa berkeras, maaf kalau saya asyik memaksa. Namun saya masih berkelakuan baik dan bercakap baik dengan dr. Sebab saya takut ilmu yang dr pernah ajar saya tak berkat. Juga, saya nak amal akhlak nabi. Harap dr juga sebegitu dalam menunaikan janji.
Maaf sekali lagi dr. Yang pasti saya tak mahu mencontohi sikap dr yang menabur janji untuk menyedapkan hati.