Jumaat, November 05, 2010

peminta sedekah itu tidur


"Assalamualaikum, bang... derma anak yatim"

peminta sedekah itu tidur.
di tengah tengah jalan, dia tertidur.
kiri dan kanan hiruk pikuk suara manusia.
manusia terus lalu lalang di sampingnya.
ada yang memandang jelik, biasa dan rimas.
bakul kecil di tangannya menadah.
kadangkala duit itu bertambah di dalamnya.
ada syiling, ada wang kertas.
pasar malam terus sibuk.

peminta sedekah itu tidur.
aku pergi kedai ke kedai.
dengan surat sekeping di tanganku.
"Assalamualaikum kak, saya daripada persatuan....."
ada yang bermasam durja.
ada pula berpura-pura.
ada juga yang berwajah ceria.
susahnya meminta sumbangan.
pelbagai ragam insan terpaksa.

peminta sedekah itu tidur.
terlalu penat dia agaknya.
sehinggakan hiruk pikuk penjual tidak diendahkan.
apakah dia sudah bosan.
bosan menadah tangan.
bosan mendongak bermuka kasihan.
atau bosan merintih simpati.
hanya tidur menampakkan.
erti penat dalam diri.

peminta sedekah itu tidur.
aku belajar daripada meminta-minta.
bukan semua insan mudah memberi.
bukan semua insan mudah memahami.
bukan semua insan mudah mempercayai.
aku belajar daripada merayu-rayu.
siapa berani untuk memberi?
keuntungan yang tidak pasti, mungkin juga merugi.
siapa berani untuk memahami?
wajah tak dikenali, mungkin hipokrit seribu kali.
siapa berani untuk mempercayai?
berlakon miskin, tetapi kaya dimuslihati.
aku bermuka tebal untuk menerima apabila diberi.
aku malu sepi untuk dihina apabila disuruh pergi.



peminta sedekah itu tidur.
masanya sudah tiba.
pasar malam semakin sunyi.
dia bangkit membawa diri.
pergi ke tempat yang entah pasti.
apakah dia sendiri atau bekerja kuli.
entah punya keluarga atau menyepi.
mengira duit hasil kasihan belas empati.
mungkin esok lusa dia buat lagi.

peminta sedekah itu masih tidur.
aku sedar....
kadangkala dalam hati, sering mengesyaki.
apakah peminta sedekah itu benar atau menipu.
aku sedar....
kadangkala dalam hati, susah untuk memberi.
apakah aku untung atau rugi.
aku sedar....
kadangkala dalam hati, sukar untuk meneliti.
apakah dia dipaksa atau terpaksa.
aku sedar....
siapakah diriku ini.
hanya peminta sedekah kepada Ilahi.
bermuka-muka memohon rezeki.
kadangkala bila alpa, terus lupa diri.
Oh Tuhan, hinanya aku di sisimu.
kerap kali meminta-minta.
kerap kali bermuka-muka.
kerap kali merayu-rayu.
rupanya akulah peminta sedekah yang tidur.
namun Engaku terus menerus tidak mengesyaki.
Engkau terus mengurniai aku.
Engkau terus menabur nikmat buat diri ku.
Ya Allah....
Engkaulah Tuhanku yang ku cintai....
ampunilah dosaku....
kerna aku lah peminta sedekah dari Mu.
menagih segalanya daripadaMu.
maka, sekali lagi. aku mohon.
Ampunilah aku...
akan ku mengabdikan kepada diriMu....
Hanya Engkau yang Satu!

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menangis baca sajak ni... Alhamdulillah...

kte juga 'pengemis' di hadapan Ilahi.. malah sering lupa diri..

pengemis itu.. mungkin terpaksa atau di paksa.. tp kedua2nya bukan lah sesuatu yang indah... kte yang diberi terlalu banyak pilihan sehingga kadangkala gagal melihat dgn mata hati...

wanitasyurgawi berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Hafidzah Hafidz berkata...

bagus sajak nie.. =)